Terbuka Pintu Hati Untuk Al-Quran. Ayahlah orang pertama cuba mengajar
al-Quran kepada saya. Setiap malam, kami (saya dan kakak) akan menghadap
Ayah bersama dengan muqqadam. Belajar al-Quran bukanlah minat saya.
Saya terasa sangat sukar. Malah setiap kali tiba saat belajar, perasaan
malas, tidak seronok, rasa terpaksa dan tertekan menyelubungi diri.
Ia satu saat yang paling membosankan!
Akibatnya, saya sering tergagap-gagap apabila berhadapan dengan ayah.
Setiap kali saya gagal membaca dengan lancar, ayah membuat sergahan.
Sergahan yang boleh didengari seisi rumah. Nada suara yang boleh
meruntuhkan semangat waja seorang kanak-kanan berusia 6-7 tahun.
Ayah sememangnya seorang guru yang terkenal dengan sifat garangnya. Di
sekolah, anak-anak muridnya sudah tahu, "Emmmm.... Cikgu Ibrahim, garang
sangat". Ia menjadi semakin garang apabila mengajar anak sendiri. Saya
sentiasa kecut perut, takut dan berdebar-debar apabila tiba saat-saat
senja melabuhkan tirainya.
Akhirnya setiap kali disergah, airmata mengalir laju. Ia bukan hanya
membasahi pipi tetapi manik-manik halus menitis jatuh menimpa helaian
muqqadam. Pandangan saya kabur. Huruf-huruf hampir tidak kelihatan.
Berbalam-balam. Sambil teresak-esak, saya menyapu kelopak mata.
Tersedu-sedu dalam kesedihan, ketakutan dan rasa kecil hati.
"Pergi masuk... marah sedikit menangis, marah sedikit menangis. Bila nak pandai!"
Saya terus meluncur ke bilik. Menyembamkan diri ke bantal. Nun jauh di
hati saya terasa sangat lega daripada terus berada dalam keadaan
ketakutan dan perasaan yang sentiasa berdebar-debar. Ummpp.... saya
berterima kasih dengan air mata yang mengalir. Air mata itulah yang
menyelesaikan masalah.
Besoknya apabila disergah, ulangan kisah semalam berlaku. Ayah sergah,
saya menangis, air mata tumpah ke atas helaian muqqadam dan saya diminta
masuk ke bilik. Hari-hari seterusnya saya mendapat akal. Ketika
saat-saat berhadapan dengan ayah, saya mula seronok menunggu ayah
memarahi dan menyergah saya. Air mata seolah-seolah bersahabat baik. Ia
sangat hampir dengan kelopak mata. Dengan satu sergahan sahaja, ia
keluar meleleh-leleh.
Akhirnya, dalam diam-diam tanpa saya sedari ayah sudah tidak menjadi
guru Quran saya lagi. Maksudnya proses pembelajaran Quran terbantut dan
terhenti ketika usia tujuh tahun tanpa dapat menghabiskan bacaan. Saya
cuma tahu dan hafal beberapa surah sahaja – cukup-cukup – untuk dibaca
semasa menunaikan solat lima waktu. Itu pun belum tentu benar atau salah
bacaannya. Selebihnya saya adalah manusia yang "buta Quran".
Hampir 38 tahun yang lampau saya berasa seronok kerana mengeluarkan
airmata ketika belajar Quran dan lebih "lega" apabila diminta untuk
memberhentikan bacaan apabila air mata tersebut mengaburi pandangan. Ia
langsung tidak memberi kesan kepada perjalanan kehidupan. Saya kekal
begitu sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Kota Bharu.
Buta al-Quran dan berada di MRSM nyata tidak membebankan. Saya tidak
kisah dan bersedih hati walaupun tidak tahu membaca Yaasin. Jika ada
majlis doa selamat dan membaca Yaasin, saya akan cuba mengelak. Mencari
jalan supaya tidak perlu menghadiri program tersebut. Malah jika
terpaksa hadir sekali pun, saya tidak rasa malu atau terbeban dengan
program seumpama itu.
Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim
(www.iluvislam.com)







0 komentar:
Posting Komentar